Taman Tasik Ardea: Menyahut Aspirasi Perumahan Mampu Milik di Bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

Majuperak Holdings Berhad (MHB), anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), hari ini secara rasmi melancarkan projek perumahan terbaharu mereka, Taman Tasik Ardea, sebuah komuniti kediaman yang dirancang dengan teliti di Mukim Sungai Terap, Batu Gajah.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, yang turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi pemilikan rumah mampu milik bagi rakyat menerusi Program Flagship Perumahan Sejahtera di bawah kerangka Pelan Perak Sejahtera 2030.

Projek ini dibangunkan di atas tanah milik anak syarikat PKNPk iaitu Syarikat Majuperak Berhad (SMB), dan mencerminkan strategi jangka panjang kerajaan negeri dalam memperkasa akses kepada perumahan berkualiti untuk golongan sasar.

Dengan keluasan keseluruhan 114 ekar, Taman Tasik Ardea menawarkan rumah jenis teres setingkat, direka khas bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan mereka yang mendambakan suasana kediaman yang tenang dan dikelilingi kehijauan semula jadi. Harga jualan rumah bermula daripada RM250,000 untuk unit Rumah Perakku 3, termasuk unit Open Unit yang juga dibuka kepada pembeli bukan bumiputera.