Majuperak Holdings Berhad (MHB) hari ini telah memeterai Perjanjian Konsesi selama 21 tahun bersama Majlis Daerah Kampar (MDK) bagi pengurusan dan pembangunan Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung, salah satu aset pelancongan ikonik Negeri Perak.
Perjanjian ini merangkumi kawasan seluas 79.54 ekar dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fokus terhadap penambahbaikan kemudahan awam, pembangunan infrastruktur serta pengurusan destinasi yang lebih berstruktur, selamat dan mampan.
Pelaksanaan pembangunan ini dijangka dapat memperkenalkan pengalaman pelancongan berteraskan alam semula jadi melalui penyediaan penginapan berkonsepkan ekopelancongan, aktiviti rekreasi dan lasak, di samping memperkukuh tarikan sedia ada, tertakluk kepada kelulusan serta pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian keselamatan dan peraturan pihak berkuasa berkaitan.
Pengalaman lawatan ke Gua Tempurung akan dipertingkatkan melalui penerapan elemen interpretasi dan visual interaktif, termasuk paparan infografik serta pencahayaan yang bersesuaian, selaras dengan pendekatan pembangunan terkawal yang menitikberatkan aspek pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.




