Ipoh, Perak, 19 Mei 2026 — Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menyambut baik pengumuman Bursa Malaysia berhubung pengeluaran status Affected Listed Issuer terhadap Majuperak Holdings Berhad (Majuperak) yang berkuat kuasa mulai jam 9.00 pagi hari ini.
Perkembangan ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pemulihan syarikat dan mencerminkan keberkesanan langkah penstrukturan serta pengukuhan yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan Majuperak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
PKNPk percaya pencapaian tersebut bukan sahaja menandakan pemulihan status syarikat di peringkat pasaran modal, malah membuktikan keupayaan Majuperak untuk terus bergerak ke hadapan dengan asas kewangan, tadbir urus dan hala tuju perniagaan yang lebih kukuh serta mampan.
Sepanjang tempoh pemulihan, Majuperak telah melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan secara berdisiplin dan bertanggungjawab, termasuk memperkukuh pengurusan operasi, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta memperkemas strategi perniagaan bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam jangka panjang.




